Rabu, 19 November 2008

Moments of realization...

Aku bukan orang baik-baik macam kamu. Jiwa kita tidak sentiasa sama. Iman, jauh berbeza. Hati, jangan dikata. Aku sentiasa rasa hati aku gelap. Jiwa aku terganggu. Kepala aku sentiasa serabut. Namun ada masa-masanya bila kepala yang serabut ini seakan disengguk. Maka aku seolah tersedar. Biarpun mungkin untuk seketika.

Menyedari hakikat adalah suatu keadaan yang jarang-jarang berlaku pada aku yang hampir setiap saat hidup dalam mimpi. Seperti kamu juga, aku seronok bermimpi. Dan kadangkala mimpi aku akan terbawa-bawa. Dan aku lupa.

Maka di setiap ketika aku lupa. Aku perlu diperingatkan. Tentang mimpi, dan apa yang terjadi setelah kita terjaga dari mimpi.

Bila kita terjaga; setiap kali kita terjaga dari mimpi yang panjang, kita mungkin tersenyum. Kenangkan mimpi yang tidak nyata. Dan kita berkata, "Indah sungguh mimpi aku tadi." Esok kita bermimpi lagi. Mungkin bukan mimpi yang sama. Dan tidak seindah semalam.

Begitu juga dengan hidup. Andai kehidupan ini seakan mimpi. Sedarnya kita nanti, apabila mata telah betul-betul terpejam rapat. Dan keliling tubuh cuma ada kain putih dan tanah.

Kamu takut mati?

Aku takut. Tubuh aku lemah. Aku takut kena himpit. Takut kena seksa. Takut kena tinggal sendirian dalam gelap.

Kamu tak takut?

Ketika itu kamu mungkin teringatkan hidup kamu. Kawan-kawan, lepak tengok wayang, makan sedap-sedap, jalan-jalan dengan kereta kamu, belanja kawan-kawan dengan harta yang kamu ada. Kamu akan teringatkan peluk cium kekasih hati kamu. Kamu akan terkenangkan malam kamu serahkan harga diri kamu kepada kekasih kamu itu. Kamu akan terkenangkan saat-saat kamu jalan-jalan dan lupa tikar solat. Macam bangun dari mimpi. Semuanya seolah-olah sudah tidak nyata. Mahu dipanggil dan digapai, tetapi tidak ada. Sudah tidak ada.

Dan kamu akan menyesal.

Aku tahu, aku akan menyesal.

Tiba-tiba aku rasa rindukan tuhan. Mungkinkah aku ini masih dipandang. Sekian banyak nikmat yang tidak aku syukuri. Segala larangan yang aku langgar. Segala suruhan yang aku tinggal. Mungkinkah tuhan masih memandang aku? Hamba yang jarang beringat.

Aku takut.

Takut tuhan tidak sayangkan aku lagi.